Sunday, November 30, 2014

"MACAM LAH KAU TU BAGUS SANGAT NAK NASIHAT AKU ! "


Hek eleh... Macamlah kau bagus sangat nak nasihat aku woi! Cermin diri tu dulu. Tengok hati tu dulu. Diri sendiri pun jalan macam ketam, ada hati nak suruh aku jalan straight. Macamlah aku tak kenal perangai kau tu macam mana sebelum ni. Jahat nak mampos! Sekarang ni nak berlagak ustazah pulak nak bagi nasihat kat aku. Pergi mati lah woi!"

Fuh! Kalau bab agama, orang kita memang pantang ditegur. Habis disumpah seranahnya kita. Dikaji-selidik pula kesalahan kita dan mengungkit kisah-kisah silam terutamanya yang pernah terlanjur dalam kancah maksiat sebelum ni. Mungkin dia merasakan orang yang memberikan nasihat itu tidak layak untuk menasihat dirinya. Mungkin kerana seseorang itu kurang baik akhlaknya mahupun cakap tak serupa bikin.

Ini kerana dalam diri itu wujud perasaan ego dan sombong untuk menerima nasihat daripada orang lain.

“Kesombongan itu menolak kebenaran dan merendahkan martabat manusia.”-HR Muslim
“Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat zarah.”-HR Muslim

Dalam Islam, jika kita melihat seseorang melakukan maksiat, wajib untuk kita menegurnya walaupun kita masih melakukan dosa kerana setiap Muslim itu adalah pendakwah. Kita juga bukannya maksum seperti Rasulullah SAW. Setiap manusia pernah melakukan kesilapan. Kenapa mahu diungkit sejarah hitam seseorang yang sudah insaf? Dia memberi nasihat mungkin kerana tidak mahu kesilapan tersebut diulangi insan lain. Dan tidak perlu tunggu jadi ustaz atau ustazah baru hendak memberi nasihat..

“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan” . (Imam Hasan Al-Basri)
‎"Barangsiapa yang memberi nasihat dengan memandang dirinya baik, maka dia akan berdiam diri apabila berbuat kesalahan. Dan barangsiapa yang memberi nasihat, kerana apa yang diucapkan adalah kebaikan dari Allah untuk dirinya, maka dia tidak berdiam diri apabila berbuat kesalahan."(Ibnu Athailah-Al Hikam).

Apa sahaja yang dikatakan oleh seseorang yang dapat memberi manfaat mahupun kebaikan kepada kita, ambil dan simpan sebagai pedoman hidup. Apa yang buruk dan tak berfaedah daripadanya, kita buang jauh-jauh. Walaupun seorang pencuri menasihati kita supaya jangan mencuri!

Saidina Ali r.a juga ada mengatakan: "Janganlah melihat kepada sesiapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan."
Akan tetapi, jangan pula cakap tidak serupa bikin. Sedang kita sedap ber'pung-pang' menegur orang lain, tapi kita masih di tahap itu juga, pun orang tidak akan respek.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan" (Surah As-Saff 61 : 2-3)

Seeloknya, sambil kita memperbaiki diri, sambil itu juga kita menyeru orang lain turut berubah bersama kita dan sama-sama buat kebaikan. Takkan nak masuk syurga sorang-sorang? Nak bagi nasihat juga, biarlah berhikmah. Manusia tak sempurna. Maka sempurnakanlah mereka dengan teguran yang membina. Bukan yang menjatuhkannya.

Yang ditegur itu pula, usahlah melenting. Anda sepatutnya bersyukur kerana Allah telah menghantar seseorang untuk menegur dan memberi peringatan kepada anda daripada terus hanyut ke dalam lautan noda. Amatlah rugi jika seseorang itu tidak mahu menerima teguran kerana dikhuatiri Allah akan terus menggelapkan hatinya yang sudah hampir mati itu. Nauzubillah...